
Pastinya pelbagai persoalan mula menjengah di fikiran anda apabila permohonan anda sudah pun lama dihantar tetapi sampai sekarang anda masih lagi belum dipanggil untuk ujian mahu pun temuduga. Sebenarnya, terdapat pelbagai sebab mengapa anda masih lagi tidak dipanggil temuduga.
Melalui artikel kali ini, kami akan kongsikan lima sebab kenapa permohonan anda masih lagi belum menerima sebarang maklum balas.
1. Tidak Melepasi Syarat Kelayakan
Sebagai contoh adalah akademik. Kelayakan akademik sangat berkait rapat dengan jawatan yang anda telah mohon.
Bagi SPM, jika anda memohon untuk jawatan separa perubatan, kelayakan akademik yang diperlukan sekurang-kurangnya lima mata pelajaran perlu kredit dan juga Bahasa Melayu wajib kredit.
Tetapi jika kelayakan anda tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, anda tidak akan dipanggil untuk sebarang ujian mahu pun temuduga.
2. Tiada Kekosongan Jawatan
Jawatan yang anda mohon masih lagi tiada kekosongan semasa sepanjang tahun tersebut. Tempoh sah laku permohonan anda pula hanyalah untuk satu tahun sahaja.
Jika ada kekosongan untuk tahun berikutnya tetapi anda tidak memperbaharui permohonan, anda tetap tidak akan dipanggil temuduga kerana permohonan sebelum ini sudah pun tamat sah laku.
3. Permohonan Tidak Lengkap
Permohonan anda tidak lengkap dan tidak berjaya untuk didaftarkan di bank data SPA.
Hal ini mungkin disebabkan ketika anda sedang mengisi permohonan, terdapat gangguan pada capaian internet anda atau ianya tidak cukup kuat.
Segala maklumat dan dokumen yang telah anda muatnaik tidak dapat dihantar atau terhenti semasa proses penghantaran.
Untuk memastikan permohonan anda telah berjaya, ambil inisiatif untuk menghubungi SPA bagi memastikan permohonan anda telah pun sampai sampai kepada mereka.
4. Tamat Tempoh
Permohonan anda mungkin telah pun tamat tempoh. Untuk makluman anda, tempoh sah laku permohonan di SPA hanyalah untuk tempoh satu tahun sahaja.
Oleh itu, untuk tahun-tahun yang berikutnya anda perlu memastikan permohonan anda dikemaskini dan memperbaharuinya semula.
5. Tidak Cukup Merit
Permohonan anda berkemungkinan tidak melepasi asas tapisan dan merit yang telah ditetapkan oleh pihak SPA atau pun agensi-agensi pelantik.
Oleh itu, sentiasa pastikan setiap jawatan yang dipohon anda melepasi kelayakan akademik yang anda peroleh.
Pastikan juga anda layak untuk semua tapisan asas yang telah ditetapkan oleh pihak pelantik dan juga telah pun memenuhi semua syarat-syarat yang diperlukan
Kesimpulan
Oleh itu, bagi memastikan permohonan lengkap dan diterima, pastikan anda menyemaknya semula. Hubungi juga pusat SPA atau agensi-agensi berkaitan untuk memastikan permohonan anda telah pun diterima oleh sistem mereka.
Baca satu persatu setiap maklumat yang anda telah masukkan, pastikan semuanya adalah betul. Pastikan juga setiap dokumen yang telah anda muat naik telah pun berjaya di simpan ke dalam sistem SPA.
Sebelum anda memohon mana-mana jawatan, semak dan baca terlebih dahulu segala maklumat berkaitan jawatan tersebut. Ambil tahu mengenai kelayakan akademik yang diperlukan, gaji, tempat penempatan dan sebagainya.
Sentiasa buat semakan dari semasa ke semasa mengenai pengambilan dan juga panggilan temuduga melalui e-mel atau layari portal rasmi SPA supaya anda tidak terlepas pandang.
Selain itu, pastikan anda mengemaskini semua maklumat dan juga membuat pembaharuan terhadap permohonan anda supaya ianya tidak tamat tempoh.
Semoga dengan perkongsian ini anda akan mendapat manfaat dan juga info-info yang berguna.